Sabtu, 31 Disember 2011

Hujung Disember buat Srikandi Hati

Dihujung tahun yang menginjak baru, biasanya kami pasti penuh dirumah.
Bukan tradisi menyambut tahun baru,tapi sang ratu hati, usianya hari ini meninggi lagi. Tahun kemarin aku boleh saja buat gila pulang pada larut malam,mengagah diri mengejar bas dan tren terakhir bersama sepotong kek. Maaf,kerana sedang berperang,kejutan sebegitu tidak dapat aku zahirkan tahun ini, dari nada suaranya lewat panggilan telefon,aku rasa getar rindunya dia pada anak nakal ini. Pintanya saat ditanya, "Mak dah penat masak je, angah cepat balik! masak untuk mak", alahai kalau aku bisa, pulang secepat itu. Akhir ini, jiwa cekal itu benar-benar teruji, Ayah,tonggak semangat hidupnya sedang melewati waktu sukar,pernah dia meluah bagaimana kan hilang dayanya tanpa Ayah.Aku pura-pura tenang,damaikan dirinya dengan kata-kata manis,walhal aku kadang merasakan yang sama. Saat aku susur kembali perjalanan hidupnya,nyata aku hanya merasa cebis dari kesakitan itu, atau mungkin tidak sama sekali. Seluruh hidup ini jika dipasakkan buatnya memang takkan pernah cukup, dan takkan pernah mampu membayar hutangku pada dia-Emak. Moga aku tak lupa,dan beroleh kesempatan mencipta pelangi buat dia. 

Sepasang tangan menghayun buaian itu,
telah bina kota kehidupan.
Sepasang mata yang berkaca itu,
cekap menangkap luka pada mata anak-anak.
Sepasang kaki berurat kudrat itu,
tegak menjejak di jalan jerih.
Sepasang telinga yang kurang deria itu,
sentiasa ada mendengar cerita.
Dan pada sekujur badan berusia itu,
telah hingap segala derita.
Tapi masih seulas bibir merah tua itu,
Tak melantun amarah,
Jauh lagi menyerah.
Maka benarlah kau karamah.

Selamat Ulangtahun Hari Kelahiran Yang Ke-48 Mak
Wanita agung ayah,
Srikandi kehidupan kami.





3 ulasan:

  1. Tolong sampaikan kepada ibu, Selamat Hari Lahir!

    BalasPadam
  2. muhdasyrf,
    Terima kasih,nanti akan disampaikan saat aku pulang ke pelukannya.

    Sora,
    Ya! kamu pun sebahagian dari hari bahagia ini :)

    BalasPadam