Sabtu, 31 Disember 2011

Hujung Disember buat Srikandi Hati

Dihujung tahun yang menginjak baru, biasanya kami pasti penuh dirumah.
Bukan tradisi menyambut tahun baru,tapi sang ratu hati, usianya hari ini meninggi lagi. Tahun kemarin aku boleh saja buat gila pulang pada larut malam,mengagah diri mengejar bas dan tren terakhir bersama sepotong kek. Maaf,kerana sedang berperang,kejutan sebegitu tidak dapat aku zahirkan tahun ini, dari nada suaranya lewat panggilan telefon,aku rasa getar rindunya dia pada anak nakal ini. Pintanya saat ditanya, "Mak dah penat masak je, angah cepat balik! masak untuk mak", alahai kalau aku bisa, pulang secepat itu. Akhir ini, jiwa cekal itu benar-benar teruji, Ayah,tonggak semangat hidupnya sedang melewati waktu sukar,pernah dia meluah bagaimana kan hilang dayanya tanpa Ayah.Aku pura-pura tenang,damaikan dirinya dengan kata-kata manis,walhal aku kadang merasakan yang sama. Saat aku susur kembali perjalanan hidupnya,nyata aku hanya merasa cebis dari kesakitan itu, atau mungkin tidak sama sekali. Seluruh hidup ini jika dipasakkan buatnya memang takkan pernah cukup, dan takkan pernah mampu membayar hutangku pada dia-Emak. Moga aku tak lupa,dan beroleh kesempatan mencipta pelangi buat dia. 

Sepasang tangan menghayun buaian itu,
telah bina kota kehidupan.
Sepasang mata yang berkaca itu,
cekap menangkap luka pada mata anak-anak.
Sepasang kaki berurat kudrat itu,
tegak menjejak di jalan jerih.
Sepasang telinga yang kurang deria itu,
sentiasa ada mendengar cerita.
Dan pada sekujur badan berusia itu,
telah hingap segala derita.
Tapi masih seulas bibir merah tua itu,
Tak melantun amarah,
Jauh lagi menyerah.
Maka benarlah kau karamah.

Selamat Ulangtahun Hari Kelahiran Yang Ke-48 Mak
Wanita agung ayah,
Srikandi kehidupan kami.





Jumaat, 30 Disember 2011

Buku Pinjam

Aku pelupa orangnya,
Buku pinjam, lama di almari kayu,
Lupa juga janji akan kembali,
Bertemu di jalan lorong satu,
Memulang buku,
Dia pasti dah tunggu.

Putih kemboja menghantar tanda,
Tapi aku pelupa orangnya,
Baru tadi dia hantar berita,
Ada yang telah dulu,
Memulang buku.
Janganlah aku lupa lagi,
Kemas buku,
Dan lunas janji.









Rabu, 28 Disember 2011

RALAT

Angin hujung disember tiba, pamitan tanpa perasaan,
di bawa juga seberkas momen-momen haru hatiku.
Semalam berita dari emak sudah mengoyah senyum bibir ku,
Paru-paru ayah penuh air dan mungkin dijangkiti kuman.
Jika keadaan belum membaik, mungkin katil putih itu akan menerima kunjungan ayah lagi.
Lalu, aku buang mungkin itu,ku katakan pada ayah dia harus sihat!
Ayah ketawa kecil dalam garau suaranya yang sedang demam. "Ayah okay angah!"
Semalam juga buat aku terpempan, saat ku jawab panggilan dari emak,suara ayah yang menjengah.
Selepas salam, tuturnya "ayah rindu kat angah" laju menyapa peluput telinga,bukan ayah tak pernah ucap rindu buatku, cuma kali ini begitu jelas. Biasanya ungkapan rindu ayah ku baca dari senyuman,ciuman,usapan di kepala dan lewat kata-kata saat menghantar aku pergi dimuka pintu.
Ralat hati ini.
Namun isi buku harus terus aku fahamkan, juangku disini juga buat ayah dan emak kan?
Esok hari perang. dan aku pasti berjuang!

Tuhan, jika sebelum ini ada kebaikan ku yang kau terima.
Jadi bolehkah kiranya hari ini aku ingin meminta?
Beri kesejahteraan buat ayah, tenteramkan hati wanita agungnya-emak.
Sungguh dewasaku ini,dengan tangan ayah dan emak yang amanah itu.
Aku sebegini berdosa bukan kerna mereka,aku yang leka.



Selasa, 27 Disember 2011

ISNIN

Isnin selepas ahad yang mereka lalui dengan biasa tapi tidak aku.Setelah asyik mengalah dengan kuasa itu,akhirnya aku lepas dia.
Aku katakan padanya ,
-Mungkin bila tuhan mahu,kita pasti bertemu.
Aku tak ingin luput dalam angan waktu kecil,kebetulan kadang bukan kebenaran kan?
Hari-hari depan akan aku lalui dengan bersenyum-senyuman tiada sesal.
dan aku pun teringat omong bapak kepala botak saat dibumi garuda,
-Kesalahan itu adalah luka yang mendidik.
Cerita ini tetap tertulis dalam lipatan kamus dewanku,kerna ia bahagian dari aku. 
Dan nanti aku rujuk bila terhantuk pada dinding degil lagi.harus-
Dan bila sang hujan menyapa dihujung jendela pada malam tanpa dia.
Akan ku beri senyum bahagia (:
Jadi,doa aku kuat!

Isnin, 26 Disember 2011

Buat cinta yang belum terkesan.

Cinta yang belum terkesan,
Malam ini aku bermimpi,
Terlihat bayangmu dibalik nyanyian hujan,
dan senyummu pada sepotong awan.

Aku yang punya fitrah juga lemah,
Kadang sayap malam ku juga patah,
Aku tak impi sempurna manusia,
Aku tak idam harta berkota,
Cukup kau punya jiwa,
Buat bonda dan pencipta.
Dan beri manis penantian ini,
dengan kau menjaga.

Pada hari-hari sebelum ku temui,
Kau pemilik senyum,
dan bebayang rindu,
Akan aku lontar kapal khayalku,
Jauh-jauh di relung sukma,
Agar tak tercari,
Agar tak didengari,
Sang pemburu iri.

Cinta yang belum terkesan,
Aku sedang nantikan,
Tiba waktu memberi berita,
Senyap dibalik kesedaran siang,
Bisu dalam layangan malam.
Mungkinkah kau jua?






Sabtu, 24 Disember 2011

SUNGAI MERAH

Aku anak kecil,
Yang berlari di titi sungai.

Saat suara belum bermuka - muka,
Tiupan angin lara tak berirama,
dan sungai merah,
masih punya jiwa.

Siang ini masih sama,
Langit kekal membiru,
Cuma rasa tak menyatu,
dan aku ragu,
mungkin esok belum tentu.

Adra Muira
Tanjung Api,Kuantan.

Khamis, 22 Disember 2011

Sayounara!

Hari terakhir kelas jepang semester ini.
Memori,
Rindu,
Sayu.



Sensei,
Terima kasih untuk sabar dan pengertianmu! 

Minna san,
Shiken wa raishuu desu!
Gambatte!

Moga ini tak sia-sia, akhirnya bahagia-



Selasa, 20 Disember 2011

SI MENTAH


Sakit gendang dengar,
Nanah dan berdarah,
Dek ludah amarah,
Sang singa dan raja,
Yang punya semesta,
Tapi kurang mata,
Miskin rasa.

Ikatlah kaki-kaki kuda!
Tambatlah si kancil bersuara!
Agar lapang dan nyaman,
Rimba kuasa warisan,
Milik sang perkasa berjasa.

Tapi si kancil mentah,
Bukan lahir buat diratah,
Dimamah hikayat luka,
Dimomok bahasa syurga.

Si mentah punya bijaksana,
Bisa menghunus bilah pena,
Juga menari di hujan hujah!


Adra Muira
201212
DS Ilmiah




Isnin, 19 Disember 2011

LESU

Hari ini langit biru basah dicium gerimis petang,
Aku beku dikerusi besi menghadap papan muka merah jambu,
Dari tadi hingga kini. mencari jawapan pasti.
Dingin petang ini mengigit tulang-tulang kerajinan,
Tugasan kuliah dan ujian akhir semester barangkali sedang asyik mencintaiku,
Namun aku gagal membalas cinta itu satu persatu, juga dengan sepenuh hatiku,
Hai semangat cinta hadirlah!
Biar hari-hari dingin ini dihangat dengan nafsu cintaku padamu.


Jumaat, 16 Disember 2011

Sehalus Jerit Pada Ringgit

Pada hati-hati manusia,
Kau tumbuh bagai cinta,
Melapang sesak dada,
Menghapus sisa air mata,
Juga membeli sejambak senyum,
Si teruna dara.

Cinta ini,
Entah mana akhirnya,
Melukis segala bahagia,
Yang berwarna sementara,
Yang indahnya sia-sia,
Yang acapkali jua membunuh nur,
Pada jiwa.

Mungkin kau,
Sayap kelangsungan hidup,
Sehela nafas dalam lumpur,
Yang mungkin tersisa,
Atau sang kelip-kelip dikelam rimba.

Tapi kau bukan semesta,
Kau bukan raja dihati,
Kau bukan cinta sejati,
Kau bukan apa yang aku cari!

Lelah aku menjerit.
Hidup bukan ringgit!
Andailah mereka mengerti,
Maruah juga bukan ringgit.


Adra Muira
Kuala Pilah
14122011







Khamis, 15 Disember 2011

Bangun dan berlarilah!

Berhari-hari rasa itu mati,
Ruang kosong jalur jingga,
Ditatap tanpa nafsu seperti biasanya.
Jari pun ikut kaku,
Kerna si hati dan fikiran membeku.
Cerita semalam seperti masih baru,
Aku terkunci dalam dimensi dan emosi lalu.
Tapi kenyataan tak ingin aku begitu,
Aku harus kuat!
Jangan menyerah sebegini mudah,
Hidup terlalu singkat untuk kau bazirkan dengan duka.
Kepergiaan ini buat mereka,
Demi kebahagian esok lusa yang kau janji pada mereka!
Bangun dan berlarilah!
Seperti dulu,
Seperti selalu.

Isnin, 12 Disember 2011

SURAT CINTA BUAT WALI


Pada cermin kaca bas kelabu;
Terbias wajah dia dan aku.
Saat masih dini dan tak mengerti,
Terasa selamat dipeluknya,
Lena pada lembut pundaknya.

Bias itu tak lama.
Pecah di tubir mata yang berkaca,
Mungkinkah kita masih berkesempatan,
Berhujan-hujanan dan bersenyum-senyuman,
Tentang rezeki dan duniawi.

Dia yang selalu memenuhi,
Selalu cuba mengerti dan sentiasa merestui.
Sedang berperang dengan kudrat,
Juga matlamat yang belum tertamat,
Pada sang tanggungjawab.

Terus tabah dan kuatlah!
Aku sedang segera pulang kepelukanmu,
Nantikan aku dengan senyummu yang dulu,
Kan kurawat lukamu tanpa jemu.
Nantikan aku!


Muadzam - Kajang
111211  11:15AM




Ahad, 11 Disember 2011

Bila akhirnya ku ketahui.


Akulah perindu di belakang tirai,
Menanti surat cinta ku sampai,
Saban hari tanpa mengerti derita hati,
Yang kadang letih dan perlu berhenti.

Wahai merpati!
Dimana kau pergi?
Membawa lari surat cintaku terselit dihujung kaki,
Kau tahu aku makan hati,
Menanti dan memerhati dihujung hari,
Perlukah kau sebegini iri?

Hari ini aku berhenti.
Bila akhirnya ku ketahui,
Bukan merpatiku hilang tak reti pulang,
Rupanya suratku dibuang kekasih hati,
Kerana jiwanya mati tertusuk belati,
Kerana cinta ini bukan lagi realiti,
Tinggallah aku,pemimpi siang hari!
Menanti merpati terbang lagi.


12:42  111211



Jumaat, 9 Disember 2011

P - I - K

PERJALANAN ;
Hari ini yang panjang di semester pendek.
Hari ini kalau dikait segala perkara boleh buat baju panas,pakai nanti di musim dingin.
Hari ini bukan untuk mengadili apa-apa mahupun siapa-siapa.
Hari ini untuk lalui apa sahaja,bagaimanapun juga.
Hari ini ada kesedihan,kegembiraan,kepuasan,kelajuan,kedegilan,kekesalan,kesesatan juga keselamatan.
Hari ini aku dan mereka belajar erti sabar dari ketidaksabaran.
Hari ini aku dan mereka mengajar erti mandiri pada diri sendiri.
Hari ini baru aku tahu alam kerja banyak kerja.

INGATAN ;
Terima kasih mak cik odah memberi bahu bila ku perlu.Harus kau tahu, aku sayang kamu!
Terima kasih si yanti, si adik dan si abah pembetul arah.
Terima kasih abang seragam hijau untuk kerisauan buat kami yang sesat dihujung maghrib.
Terima kasih mak cik temai penambah semangat!
Terima kasih kawan-kawan yang tetap tabah,tak gelabah dan menyerah.

KENANGAN ;









# inifotohati.tak perlu kau cari tahu apa ada padanya.





AKU TUNGGU!

Hujan yang deras. 
Yang layangkan kerudung dan alas.
Kau buat aku basah,
Kau buat aku lemah,
Kau buat aku lelah dan menyerah.

Tapi itu bukan aku!
Aku bukan si kalah,
Aku bukan!
Baik kau beredar.
Derasmu bukan alasan.
Kencangmu hanya kepuraan.

Kau tahu kan;
Aku masih gagah,
Berjalan dalam hujan!

Wajar,
Semalam kau kirim aku segaris pelangi, 
Biar aku senyum sepanjang hari.
Rupanya kau ingin hantar sang hujan lagi;
Aku tak akan kecil hati.

Aku tunggu pelangi itu lagi!



# Buat si dia dan juga dia. Maafkan aku .
 Bukan aku tak mahu berjalan dalam hujan bersama.
Suatu hari kau pasti mengerti. Kenapa dan mengapa.



Khamis, 8 Disember 2011

Mereka tak tipu aku.

Aku jumpa pelangi itu juga akhirnya.
Terima  kasih kak hujan dan abang harapan!



DOSEN GENIT

Rambut ekor kuda berwarna,mata bundar selesa,tinggi mungkin sedepa dua.
Dia dosen genitku tiap kali malam selepas selasa.
Dulu aku meraba sahaja dia siapa.
Suara seperti puaka, teriak-teriak tiba-tiba.
Sekarang masih sama, cuma aku makin selesa.
Hari ini dia biasa cuma isinya luar biasa;
Kisah cinta, lelaki dan Jalan Klang Lama.
Rambutnya berwarna tapi dia tahu agama.
Mungkin waktu belum tiba.

Katanya nikah bukan cinta biasa;
Harus bersih jiwa dan raga
Perempuan harus punya mata;
Lelaki perlu pintar cinta,
Jangan pilih pembawa petaka.
Nanti kau merana kandung anak tidak berbapa.
Juga yang selalu ke Klang Lama;
Langgan ayam tua muda Tembok China.
Kau harus waspada belaka!
Mereka pembawa virus semasa.
Kau degil kau binasa.
Kerana cinta tak bisa buta-buta.
Betapa kerana cinta, ramai berjaya;
Tempah tiket ke taman neraka.
Itu dosen genit punya cerita.

Aku lihat, pusing, dan kira;
Mungkin ada yang boleh dikata;
Lelaki bukan nafsu semata.
Tapi ketemu pak hampa.
Aku yang buta atau memang tiada?

Siapa tahu?
Beri aku satu!
Untuk aku menyatu dan merindu.



Adra Muira
AB-1-16
11.00PM


CORET


Hari ini terlalu panjang.
Terasa bukan manusia bila kerja diluar kuasa.
Dari selepas subuh, kini malam berlabuh.
Tapi, banyak isinya padat itu pasti.
Nanti aku cerita,
Kini penat dan ingin berehat.

Rabu, 7 Disember 2011

Cerita dulu dan sekarang.


Dulu selepas hujan aku buka tirai tingkap luas-luas dan lapang. Biar udara nyaman dan bau basah hujan aku telan aman-aman. Itu alasan,sebenarnya aku cari pelangi selepas hujan.
Tapi hampa dan kecewa yang membasah ubun kepala.
Dulu aku tak mengerti dan mungkin sekarang juga aku masih tak mengerti tapi aku yakin mereka tak tipu. Tentang hujan dan pelangi itu.


; Entah berapa suhu diluar sana hingga membiru kuku jari dan kaki.
  Entah,mungkin aku yang hampir dipanggil pulang.

Foto:  Bumi MS,hujan,bas dan aku yang baru selesai kuliah.

Selasa, 6 Disember 2011

MONOLOG SIANG

Siang ini panas dan bahang. Tak seperti semalam kelabu yang meyelubungi.
Hati ku tak bahang tapi sendu, mengingati apa yang dihajat tapi tak dapat.
Asal dia tahu betapa aku, kau dan mereka telah usaha.
Kenapa sang dugaan datang begini rupa?
Ahh kau juga yang kata 'hitam putih hidup bukan sengaja. pasti ada makna'
Kan kata dah makan tuan!
Dugaan juga satu kenikmatan. Nikmati!
Jangan persoal lagi.

- monolog akal hati HEP dan puan pentadbir.

Tentang juang dan jalan pulang.

Malam ini aku gagal lagi.
Memahami erti tanggung dan jawab yang semakin sukar.
Maafkan aku ayah yang gagah...
Anak ini bodoh dan dungu mencerna cerita.

Tentang juang dan jalan pulang.

Ayah kata orang perjuangan cuma kenal mati atau menang.
Berundur bukan pilihan juga jawapan.
Syukurlah anak bodoh!
Kasih dan sayang si tua retan masih bersisa.
Buat kau yang tak kenal cerita.

Tentang juang dan jalan pulang.

Lihatlah kebelakang.
Jalan jalan yang kau tinggalkan.
Luka luka yang terubati.
Oleh tangan ayah yang gagah...
Dan kau kini masih megah.
Bercumbuan dengan nafas dan sandiwara.
Hingga terlupa lagi...

Tentang juang dan jalan pulang.

Adra Muira
DI-18-C
Buat ayah yang gagah, ARM

Isnin, 5 Disember 2011

BUNGA DAN ANGIN


Bunga.
Tetaplah kembang dan menawan.
Angin semasa yang mengoncang.
Hanya sebatas sukar dari kesempurnaan.

Bunga.
Tebarkan harummu merata.
Tanya mereka.
Merangkai bahagia pada siapa?
Tak mengapa.
Kerana bukan mereka yang mengira.

Bunga.
Mekarmu bukan sia-sia.
Pada kumbang dan juga semesta.
Harum mewangilah di tangkai usia.
Sebelum musim  singgah menyapa.
Bawa harummu di angin semasa.

Adra Muira
DK Harmoni
10:30 am

Ahad, 4 Disember 2011

LIFE


And in the end it's not the years in your life that count.
It's the life in your years.
- Abraham Lincoln

CERITA CINTA


Ini bukan gambar semata tapi cerita.
Kau takkan mengerti kerana tak pernah merasai
Kenapa tangan yang menghayun buaian sekental ini dan kenapa si biru itu harus gagah sebegini
Bahaya dan raga juga bercerita- betapa ini kerana cinta.
Ya! jalan kita berbeza cerita kita juga tak sama. Ini mungkin mereka yang disana.
Jauh disana, hingga kita terlupa ia masih tentang cerita sama -cerita cinta.

Tangan- tangan kesempatan masih dihulur
Buat dia yang masih disisi atau sedang menanti disana
Mahu kau kirim surat cinta ini atau hanya menghibur?
Kau pilih,selagi mana sang penjaga masa masih mengira.

Sabtu, 3 Disember 2011

PESONA

Tak cinta.
Entah kerana apa.kehadiran dia ditunggu
Kala dinihari bahkan di celik mentari pagi
Sedarlah dari pesona ini sang hati.

Tapi.
Biarlah denai  rasa ini dijelajahi

Kerna aku yakin.
Hitam putih kehidupan bukan sengaja.
Pasti ada makna.

GHAIBMU



Biar ghaib mu suatu misteri 
Tiada ku mencari sebarang pembayang lagi 
Biar ia bertanda tanya saja 
Hati ku dah lama bertitik noktah.
-  Imran Ajmain



LEWAT MALAM

Assalamualaikum...
Sang malam dan bintang yang bertebaran di langit.

Sekarang lewat malam, tapi perjalanan yang aku lewati masih berbaki,banyak sekali.
Tertangguh sebentar tugas kuliah yang berbukit bukau.
Inikah yang bakal bawaku pulang?

Pertanyaan tak perlu jawapan.
Kau tahu itu dari dulu bukan baru sekarang.
Hidup bukan pilhan tapi ketentuan.

Selamat pagi nikmat dan rahmat.

SENJA


Burung pulang ke sarang
Kelawar mula mengerang
Kau yang masih melayang
Pulang lah ke tikar sembahyang...

PERTAMA


Jumaat
Hari kedua
Bulan kedua belas.
Bermula contengan hati untuk dikongsi
Disini...

Ini dunia Adra Muira.