Selasa, 24 April 2012

KABUR

Sedang pagi mulai membuang warna jingga dari peluknya, aku masih gagal melelapkan mata pada waktu yang wajar. Barangkali kerana waktu siang yang banyak aku habiskan dengan rehat akhir ini atau mungkin semalam yang begitu panjang untuk ditinggalkan.

Ya,ini fasa sukar.
Tapi dua minggu lalu,aku masih kuat dan semangat tentang segala apa yang bakal berlaku.
Entah kenapa semalam aku membiarkan emosi menakluki segenap ruang hati.
Fikiranku terimbau segala kisah lepas,
Tentang mereka-mereka yang aku cintai,
Hati yang selama ini aku tutup demi hari depan,
Perilaku sepanjang duapuluhsatutahun ini.
Tugasan kuliah dan ujian akhir semester yang mendekat,
Juga tentang esok.

Aku KABUR
 tentang semuanya.

Harapku,esok dan tulat aku akan kembali menjadi gagah seperti selalu.




Isnin, 23 April 2012

MAGIS

Ini mungkin bukan apa-apa buat kalian,tapi buat aku ini magis.
Sebelum ini hanya mendengar puisi-puisi penulis lain dimelodikan oleh saudara Airmas SZ,
Paling mengesankan, melodi kaca jendela tren tulisan Ainul Muaiyanah.


Kini puisiku pula diberi magis olehnya,
Bait-bait Khabar Hujan dan Angin kedengaran begitu bernafas dan segar.


Warna Bulan juga.


Buat saudara Airmas SZ, 
Terima kasih kerana memelodikan puisi ini sebegitu indah,
Semoga Tuhan sentiasa memberkati segala halu tuju karya saudara.

Jumaat, 13 April 2012

Aku Adalah Pinjaman

Aku adalah pinjaman,
Dari bai'ah di muka pintu,
Diberi sebatang kudrat,
Sepasang akal dan nafsu,
Berlarilah aku memeluk dunia,
Mencoret mimpi-mimpi basah.

Prahara menyergap datang,
Kota-kota angan yang ku layarkan,
Kau tiup luruh berserakan,
Saat daun hidup memuncak hijau,
Lenggok kaki yang tak pernah malu,
Dan pinjaman yang dilupakan.

Aku kini belajar menggantung hati,
Umpama daun mapple merah suram,
Tak peduli,senyap di antara tapak kaki,
Melihat pencarian belum selesai,
Khabar ini adalah seberkas cahaya,
Membasuh legam di tangkai kabidku.



"Allohumma robbannaas azhibil ba’sa isyfihi wa antasy syaafi laa syifaa’an illa syifaa’uka syifaa’an yaa yughoodiru saqoman"

(Ya Allah Robb sekalian manusia, hilangkanlah kesengsaraan ini dan sembuhkanlah ia. Karena sesungguhnya Engkau Maha Penyembuh dan tidak ada kesembuhan melainkan hanya dari-Mu iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit lagi.)




Khamis, 12 April 2012

WARNA BULAN


Pelangi ku lihat berwarna senja,
Nyanyian hujan,
Tak kedengaran sempurna,
Desir angin yang lalu,
Hanya terisi kata tanpa suara kita,
Aku tutup mata membuka rasa,
Malam hening kosong,
Dan biasan wajahmu seperti angin,
Wujudkah engkau dalam depanku,
Wujudkah aku dalam impimu,
Hantarkan tanda sekepul warna mentari,
Agar aku beli warna bulan buatmu.



Isnin, 9 April 2012

Khabar Hujan dan Angin

Gadis kecil dalam hujan dari wilayah Google

Hujan petang dan angin,
Mengusap peluput mata,
Bermimpilah rumpun hijau kembali muda,
Namun terasa kasar hujung angin,
Begitu sendu derap hujan.

Lalu terlihat luka-luka,
Di baris tubuh alam, 
Yang menghantar senyum,
Agar terbeli penawar,
Dari tangan kita si pembinasa.

Berseru mereka semangat,
Mengoncang jiwa peduli,
Khabarkan duka ini terbela,
Agar hujan dan angin bertebaran selesa,
Dan segala isi muka ini bahagia.


Jumaat, 6 April 2012

RELATIF


Kesibukan.
Betul-betul mencuri aku dari sisi yang satu ini.
Begitu banyak juga yang telah berlalu dan hanya sempat terakam oleh memori sementara. 
Pagi ini aku bersoal dengan hati, apakah telah sempurna aku menjaga dia?
Juga pada segenap anggota, tentang hari-hariku bersama mereka.
Apakah benar segala tingkah dan langkah?

Tiada jawapan -
Mungkin kedegilan sendiri menafikan suara-suara itu.

Seperti januari yang lepas,
Aku tidak harapkan kehidupan dua ribu dua belas ini sempurna.
Biar aku belajar tentang angan,jatuh dan bangun semahunya.

Kan bahagia itu relatif  :)