Rabu, 30 Mei 2012

Tetaplah Disini

Hujung malam
Ada hati yang belum tidur
Mengenang hari berlalu panjang
Tentang cinta yang dinafikan
Tentang hidup yang dimatikan
Adakah aku pembunuh diri?
Sedang semalam kita saling berpegangan
Tangan itu juga membias senyum
Bicara itu juga melepas resah
Mungkinkah angan jauhku tak kau dengar?
Lalu sisi hatimu merusuh.

Tetaplah disini,
Ajarkan aku kembali pulang.

Ahad, 27 Mei 2012

4 Pagi

Terbangun jam 4 pagi.
Aku jadi ingat pada semua hal-hal yang belum lunas. 
Juga perkara lepas.
Enaknya hidup akhir ini buat aku lupa tentang kebarangkalian ia bersifat sementara.
Bukan putus asa, ini sisi biasa manusia awal puluhan. 
Mungkin.
Aku takkan selalu gagah, akan tiba waktu dimana bahu-tisu-ibu-kamu aku perlukan.
Tapi aku lebih selalu menang untuk pura-pura, 'Okay'
Sampai-sampai akan rapuh rasanya menahan sendiri.
Namun, masih utuh syukur buat Tuhan.
Mereka-mereka - hadir begitu sempurna.
Dan akan aku belajar melengkapi antara kita.


Khamis, 24 Mei 2012

Pembeli Senyum






Kau pembeli senyum
Entah dari mana
Tanpa menyentuh
Kau menggengam hatiku.

23512. MidValley       


Isnin, 14 Mei 2012

SAYANG

Dua hati sedang berpandangan,
Angin yang lalu pun bisu,
Daun-daun suram bercahaya,
Antara tertitip cinta,
Antara terulit asmara,
Dimanakah kita sayang?

Dua hati sedang berdebaran,
Pelangi luntur berwarna satu,
Siang pun lekas menangkap bulan,
Akan merahnya cemburuku,
Akan birunya rayumu,
Pantaskah kita sayang?

Bila nanti kau memandang,
Bila nanti aku berdebar,
Moga,
Halalkan kita sayang.


Isnin, 7 Mei 2012

Khabar Bapak

Bapak berkhabar,
Rahsia dan bisa-bisa
Juga sabda tuhan
Dari sudut rumah
Lorong dua
Desa kita.

Bapak berkhabar,
Pantaslah mengenal diri
Membaca erti
Mengantung hati
Jangan mengungkap resah
Peluklah hikmah.

Bapak berkhabar,
Leka kita tentang abadi
Lupakan jalan kembali
Waktu tak lagi perawan
Siang kan menjemput malam
Maut pun menjemput tuan.

Bapak berkhabar,
Juang adalah semangat
Kala kudrat tinggal sekerat
Kaki- kaki yang kau pacu
Tangan- tangan yang melaju
Penyimpan ubat paling mujarab!

Bapak berkhabar lagi,
Hidupi hidupmu
Saat esok kau kan pulang.


Desa Keranji
060512



Jumaat, 4 Mei 2012

HATI - HATI

Begitu lama rasanya aku tidak menulis dengan penuh hati disini, mungkin kerana kondisi diri dan segala cekal juga semangat yang aku biarkan lelap sementara. Sudah! aku telah tetap hati yang sebagaimana hari depan yang bakal datang akan aku tentang sehabis baiknya. 

Terima kasih tuhan atas nikmat sakit setelah puluhan tahun telah kau beri sihat kepada aku yang lupa!

Waktu begini mengajar aku banyak tentang hidup,keluarga,cinta,dan isi dunia. Takdir itu rupanya saling berkejaran dengan diriku, sama ada aku mahu terduduk lemah atau berlari sama laju. 
Pilih.

Aku juga sedang belajar menjadi perempuan yang tahu cinta tanpa hilang dirinya,bukan mudah bila cuba membuka hati, kerana aku perempuan penuh hati-hati.



Aku perempuan dengan hati-hati
Tahu mandiri bukan memberi
Tapi cubalah kau curi hati
Dan segala isi kan kau miliki
Ini janji.





Mencintai

Cintailah hatiku saja,kekasih
Mataku jangan tanganku usah
Berlarian malaikat menyumbang keringat
Cuma hati

Cintailah hatiku saja,kekasih
Sajakku jangan lidahku usah
Berhamburan api mengais cahayanya
Cuma hati

Cintailah hatiku saja,kekasih
Jasadku jangan kelaminku usah
Berfirman Dia mengutus perintah
Cuma hati

Cintailah hatiku saja,kekasih
Aku jangan.

MIG 1995


Puisi mengesankan ole-ole PWTC, 
Buat aku  berfikir tentang janji temu kita,hujan petang itu dan secawan milo ais yang kau belanja buat menghangatkan suasana. Terima kasih untuk semuanya!