Ahad, 26 Februari 2012

RAPUH

11:52 PM
Pulang dari kelas.
Aku dail nombor emak, hari ini belum lagi mendengar suaranya, walaupun agak lewat aku pasti ini belum waktu tidur emak. Saat suara kami bertemu, bergetar hatiku, suaranya terdengar begitu lelah. katanya baru pulang dari pasar. Akhir ini, tenaga ayah dan emak begitu tercurah, mungkin ketiadaan pekerja dan umur mereka yang layaknya tidak berkudrat sebegitu rupa. Aku tanyakan sama dia sudah makan. Ternyata emak belum menjamah makanan sejak petang, saat menerima panggilan ku tadi, emak baru ingin memasak,katanya lagi tengahari tadi kerna semakin sibuknya, dia tidak sempat memasak untuk juadah makan. Walaupun kami berjualan makanan, aku tahu persis perut emak dan ayah memang tidak begitu selesa menjamah dagangan kami. Adik-adik lain tidakla begitu membimbangkan aku, kerna mereka telah terbiasa sedari kecil. Waktu sukar begini aku begitu ingin terbang ke pelukan emak, berpegang tangan dan berkongsi segala susah hatinya. Aku jadi teringat katanya waktu aku pulang minggu kemarin, "Angah,kalau bukan kerana sekolah kalian emak dan ayah dah tak larat kerja begini!", betapa aku rentan dari jauh hanya dapat mendengar manusia agung hidupku sedang susah. Dan sekian kalinya, kehidupan di hari-hari lepas terimbau kembali, rupanya dewasa aku dengan peluh dan penat diwaktu itu,cuma bedanya kini, aku dan along tidak lagi disisi mereka.

Bagaimanakah aku akan tegar mencari bahagia diri bila mana pada mereka tidak aku sempurnakan tanggugjawabku?

Malam makin dihujung, dan lagu ini buat aku berfikir tentang hari-hari depan buat mereka.


Tuhan,
Moga kau beri nafas buat kami untuk esok.

Jumaat, 17 Februari 2012

Anak - Anak


Hari ini sekalian anak-anak,
Sedang berevolusi kesedaran,
Ralit mencakna minda,
Hukum jiwa hilang guna,
Jangan ada yang cela,
Kan terbakar nanti,
Tak dihati,
Kan mati ditangan.
Mungkinkah anak-anak malu,
Setelah lama terlihat bisu,
Hujungnya dia mendapat bijak,
Lalu pada tangan-tangan mugil,
Terajar menembak.

Kini bila mana ada yang lupa,
Jatuh, lalu terbinasa.
Mengapa anak-anak marah?
Bukankah anak-anak yang membeli peluru,
Menarik picu.


****

You mould the future, act wisely.



Khamis, 16 Februari 2012

MENCARI SUCY

Malam ini bulan penuh. Sucy menatap dalam-dalam biasan dari warna terang itu, seketika bulatan itu luntur dan terendam dalam kolam matanya, lalu laju mengelus pipi,jatuh pada baju. Entah dia sendiri kurang pasti, tentang rasa yang begitu membelenggu saat ini. Sucy menarik daun tingkap, dirapatkannya perlahan. Begitu juga jurai langsir yang dari tadi meliuk lentuk ditiup angin. Sucy kembali kekatilnya, memeluk betis, sambil matanya terarah ke katil Maryam, teman sebilik dan tempat dia berbagi hampir separuh hatinya.

Malam ini dia sendiri, Maryam pulang kampung.
"Kau tak balik?" Ujar Maryam sambil tangannya ligat menggulung wayar pengecas laptop. Sucy yang dari tadi ralit dengan sudoku,tersentak. "Tak" ringkas jawapnya, Sucy kembali pada sudoku, sambil menyanyi kecil.Maryam sedikit mengeluh, lalu duduk di birai katil Sucy. "Sampai bila kau nak macamni? sambil tangannya mengelus bahu temannya itu. Sucy bangkit dari baring " Kenapa apa? Aku okay Mar!" dia cuba mengukir senyum bagi meyakinkan Maryam. Tapi dua tahun bukan singkat buat Maryam kenal helahnya. " Dah bertahun kau tunggu dia balik, sekarang masa tu sampai kau mengalah?" wajah manis Maryam terasa pahit ditelan mata dan hatinya."Aku pilih dunia aku tanpa dia! Abi,Tok ki,Mama Zah, dan kau dah cukup buat aku." ujarnya sambil memandang tepat pada Maryam. "Kau tipu Sucy!" cepat Maryam membalas.Begitu juga jeritan yang terdengar dari corong hati Sucy. Dia sedang menipu, sedangkan dia begitu ingin.Maryam pegang dua tangan Sucy,pandang tepat pada matanya. "Seribu kali pun kau cuba nafikan, perempuan tu takkan pernah menjadi yang lain, dia tetap ibu kau Sucy!" intonasi maryam sedikit tinggi."Kau bukan tuhan untuk hakimi dia, lapangkan dada." bisik Maryam sambil mendakap Sucy erat.

Perbualan singkat petang tadi berasakkan di fikirannya. 
10 tahun lalu Ummi sosok manusia agung buatnya,waktu kecilnya tumbuh dengan kenangan manis mereka, mungkin itu sebabnya dia masih gagal membenih benci buat perempuan itu. Tapi hatinya berbelah dua, antara rindu dan amarah. 10 tahun yang dilalui tanpa seorang Ummi bukan mudah untuk gadis sepertinya, dia mahu perempuan itu tahu betapa rentan hatinya pada hari-hari dia perlukan seorang Ummi. Mujur,tuhan kurniakan dia seorang Abi yang tidak menanam benci,katanya "manusia itu pelupa Sucy, Ummimu mungkin tersilap.Maafkan dia, itu syurgamu nak!". Sucy tukar posisi, cuba berbaring di katilnya, saat kepala mencecah bantal,air matanya lebih dulu singgah. 

Sucy pejamkan mata, bisiknya "Tuhan! benarkan aku membersih hati, biarkan aku mencari suci pada dia yang ku nafikan syurga. Ciptakan kami manis dikesempatan yang ada". Malam ini dia ingin tidur tanpa selumbar dihati seperti hari-hari kemarin.Esok dia ingin bersegera pulang, ada yang telah menanti.


****


Kispen pertama dalam hidup,
Terima kasih buat AY yang membakar semangat.


Ahad, 12 Februari 2012

MANIS

AY,
Ketika bulan ditidurkan pada sisi malam,
Antara kita tiada mampu membaca makna,
Kait-kait dari bahasa tanpa suara,
Yang hidup di sepertiga ruang ini,
Lalu aku susunkan sebelum lupa,
Biar segar bahagianya.


Jumaat, 10 Februari 2012

SOLUSI



Kau selalu menuntun jalan,
Memegang tangan,
Sesekali mengepul awan,
Agar aku tak panas berjalan,
Dan berkali aku jatuh dari langit angan,
Kau dibawah menahan.

Masih aku setengah hati,
Melukakan dengan sengaja,
Melupakan dengan selesa,
Percaya payung kau kan tiba,
Tiap desus hujan berbunyi,
Bila mana panas datang mencuri.

Hiduplah aku pada hari-hari cerah,
Yang membunuh kau disisi,
Kau pun dihadap pergi,
Hilang tak tercari,
Merayu aku, kau kembali!

Mungkin,
Mesin masa solusi,
Membenih cinta yang mati?



Isnin, 6 Februari 2012

ZSM: SATIRA

Aku baru jumpa satu lagi dunia magis.  
Semua boleh jadi tukang cerita, yang penting tak ada pura-pura.
Nak kongsi tulisan atau lukisan, kau pilih ikut hati sendiri.


Jadi,
Aku pun ikut hati hantar karya kurang isi,nasib baik laku.

BANGSAWAN

Ini zine terbaru dari mereka!


 Sila baca jika anda pria dan gadis matang.

Lebih enak juga kalau buat kunjungan manja di MukaBuku atau HQ mereka.

Jumaat, 3 Februari 2012

Jangan jatuh.


Seperti Ahmad, aku pun telah lama senyum sendiri pada langit-langit bumi.
Bertukar khabar pada angin yang hilang selepas hujan.
Hanya sedikit tergoda bila mana ada awan melirit manja.
Dengan Ahmad, aku ingin sekali bertukar senyum dan cerita.
Menarik jendela malam agar pudar cahaya bulan terang.
Biar dia enak dibuai mimpi yang mana aku pelakonnya.
Aku kurang pasti mana indahnya dia.
Kerana lewat ratapnya pun masih terdengar merdu.
Hingga bualan kosong pun mampu mengkhayalkanku.
Tapi.
Ahmad tak merasa seperti aku,
Dia masih ralit senyum sendiri seperti dulu.
Dan aku awan manja yang datang padanya.

Haruskah aku ingatkan hati,
Jangan jatuh ditiang mimpi?